Al-Fadhil Ustaz Zahari Mahad Musa merupakan seorang pensyarah USIM dan sangat pakar dalam bidang faraid. Semasa mengikuti Kursus Faraid kendalian beliau yang dianjurkan oleh ILIM JAKIM Kundasang, Ustaz Zahari menjelaskan bahawa cucu lelaki dari anak perempuan adalah waris dzawil arham iaitu waris yang mempunyai hubungan kekeluargaan sahaja namun tidak mewarisi pusaka secara fardu atau asabah.
Ini bermaksud cucu tersebut tidak mewarisi harta pusaka datuk sebelah ibunya. Sebagai contoh, seorang lelaki mati dan meninggalkan seorang isteri (a), seorang cucu lelaki dari arwah anak lelaki (b) dan seorang cucu lelaki dari arwah anak perempuan (c).
Kebetulan anak lelaki si mati (bapa kepada b) dan anak perempuan si mati (ibu kepada c) meninggal terlebih dahulu sebelum si mati. Dalam kes ini, pembahagian harta pusaka adalah seperti berikut:
(a) Isteri = 1/8
(b) Cucu lelaki dari arwah anak lelaki = asabah @ 7/8
(c) Cucu lelaki dari arwah anak perempuan = 0
Mengikut pembahagian di atas, cucu (c) tidak mendapat apa-apa bahagian. Jadi bagaimana nak memastikan kebajikan cucu tersebut dapat dibela?
Pertama, cucu tersebut (c) boleh memohon bahagian wasiat wajibah jika dia langsung tidak mendapat sebarang harta sama ada melalui hibah atau wasiat atau lain-lain pemberian dari si mati.
Kedua, tidak mendapat bahagian pusaka tidak bermaksud Islam tidak membela nasib cucu tersebut. Kebajikan cucu (c) sebenarnya adalah menjadi tanggungjawab ayah atau penjaganya (datuk sebelah ayah atau pak sedara sebelah ayah).
Kadang-kadang apabila isu waris dzawil arham ini ditimbulkan, ramai yang memandang seolah-olah Islam tidak berlaku adil. Kita terlepas pandang bahawa walaupun cucu (c) tersebut tidak layak mendapat harta datuk sebelah ibunya, namun dia sebenarnya adalah waris asabah kepada harta pusaka ayahnya kelak. Bahkan dia juga mungkin merupakan waris asabah kepada harta datuk sebelah ayahnya jika tiada waris utama yang menghalang.
Oleh itu, kita seharusnya melihat pensyariatan isu waris dzawil arham dari pandangan yang luas dan gambaran yang menyeluruh sebelum melontarkan kritikan dan sangkaan buruk. Hikmah pensyariatan faraid adalah rahsia Allah SWT. Setiap keluarga mendapat faedah yang berbeza-beza sesuai dengan keadaan mereka. Firman Allah SWT:
{...lbu-bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.} - Surah an-Nisa : 11
COMMENTS