Harta peninggalan yang tidak patuh syariah TIDAK BOLEH DIWARISI dan wajib dilupuskan mengikut ketetapan syarak.
Harta ini juga disebut sebagai al-mal ghair al-mutaqawwam yang bermaksud harta yang tidak mempunyai nilai syarak walaupun bernilai dari sudut material.
Cara pelupusan al-mal ghair al-mutaqawwam adalah tertakluk kepada cara bagaimana ia diperolehi.
1. HARTA PENINGGALAN DIPEROLEHI DENGAN CARA YANG MELANGGAR UNDANG-UNDANG NEGARA
Harta yang diperolehi dengan cara yang melanggar undang-undang perlu dipulangkan kepada Kerajaan melalui agensi-agensi yang berkaitan seperti PDRM, SPRM dan sebagainya.
Sebagai contoh, perolehan melalui cara berjudi, merompak, rasuah, pengubahan wang haram dan sebagainya.
Nota: Bagi orang Islam, berjudi dianggap satu kesalahan jenayah yang melanggar undang-undang negara.
2. HARTA PENINGGALAN DIPEROLEHI DENGAN CARA YANG MELANGGAR HUKUM SYARIAH
Terdapat juga harta yang diperolehi dengan cara tidak melanggar undang-undang negara tetapi melanggar hukum syariah. Sebagai contoh hasil pelaburan daripada produk konvensional, hutang yang tidak dibayar dan lain-lain.
Ianya boleh dikategorikan berdasarkan perkara berikut:
A. HARTA YANG MELIBATKAN HAK INDIVIDU LAIN
Harta yang diperolehi dengan cara yang melibatkan pelanggaran hak individu lain perlu dipulangkan kembali kepada individu tersebut.
Sebagai contoh, hutang yang tidak dibayar, kereta yang dipinjam tetapi tidak dipulangkan, dan lain-lain.
Namun begitu, sekiranya pemilik asal harta / pemiutang tidak ketahui maka waris perlu menyerahkan harta tersebut kepada Baitulmal.
B. HARTA YANG BERCAMPUR HALAL DAN HARAM
Sekiranya harta yang diperolehi dengan cara yang bercampur halal dan haram maka bahagian yang haram sahaja tidak boleh digunakan dan perlu dipulangkan kepada Baitulmal.
Sebagai contoh, hasil pelaburan konvensional. Bahagian modal / prinsipal sahaja dianggap halal dan boleh diagihkan kepada waris manakala bahagian dividen / faedah dianggap haram dan perlu diserahkan kepada Baitulmal.
3. HARTA PENINGGALAN DIPEROLEHI DENGAN CARA YANG TIDAK DIKETAHUI ASAL-USULNYA / SYUBHAH
Harta yang diperolehi dengan cara yang tidak diketahui asal usulnya atau harta syubhah perlu dipulangkan kepada Kerajaan atau Baitulmal (mengikut kesesuaian).
Sebagai contoh si mati meninggalkan sejumlah wang tunai yang sangat banyak dan meragukan dirumahnya tanpa diketahui asal usul sumber wang tersebut. Maka wang tersebut perlu dilaporkan dan dipulangkan kepada pihak berkuasa.
Sekadar berkongsi dan semoga bermanfaat.
Baba Ibrahim
COMMENTS