PENGERTIAN ZAKAT
Terdapat dua pengertian yang perlu difahami iaitu pengertian zakat dari sudut bahasa (literal) dan dari sudut istilah (kontekstual).
i. Dari sudut bahasa:
Bersih, suci, subur, berkat dan berkembang.
ii. Dari sudut istilah:
Kadar harta tertentu yang diwajibkan oleh Allah SWT untuk diserahkan kepada asnaf yang berhak dengan syarat-syarat yang tertentu.
HUKUM ZAKAT
Zakat merupakan kewajipan Fardhu Ain ke atas setiap orang Islam yang memenuhi segala syarat-syarat wajib.
HIKMAH PENSYARIATAN ZAKAT
i. Mengagihkan kekayaan kepada golongan yang kurang berada.
ii. Membersihkan diri dan harta pembayar zakat.
iii. Menyuburkan lagi keberkatan harta pembayar zakat.
iv. Melatih sifat syukur.
v. Mengelakkan iri hati di kalangan asnaf.
ii. Membersihkan diri dan harta pembayar zakat.
iii. Menyuburkan lagi keberkatan harta pembayar zakat.
iv. Melatih sifat syukur.
v. Mengelakkan iri hati di kalangan asnaf.
RUKUN ZAKAT
Rukun Zakat ialah mengeluarkan sebahagian daripada harta yang mencukupi nisab kepada asnaf yang berhak.
SYARAT WAJIB MENUNAIKAN ZAKAT
i. Islam
Pemilik harta mestilah seseorang muslim kerana zakat hanya disyariatkan kepada orang Islam sahaja. Golongan bukan Islam tidak diminta untuk mengeluarkan zakat kerana zakat adalah ibadat untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT serta menzahirkan kepatuhan diri sebagai seorang hamba.
ii. Merdeka
Mestilah bukan seorang hamba kerana hamba itu bersifat "dimiliki". Walaupun konsep hamba sudah terhapus namun syarat ini tetap dikekalkan oleh para Ulama.
iii. Sempurna Milik (Milk At-tam)
Pemilikan terhadap sesebuah harta hendaklah sempurna dan tidak tertakluk kepada orang lain / pihak ketiga. Oleh itu, tidak wajib zakat bagi harta yang tidak berada dibawah kekuasaan seseorang walaupun harta itu milik mereka. Sebagai contoh, simpanan KWSP tidak wajib dikeluarkan zakat sebelum pemilik mempunyai hak untuk mengeluarkannya. Zakat hanya diwajibkan ketika mana simpanan tersebut dikeluarkan kelak.
iv. Cukup Nisab
Sesuatu harta yang dimiliki hendaklah mencukupi nisab iaitu nilai minimum yang menentukan sama ada wajib atau tidak sesuatu harta itu dikeluarkan zakat. Setiap jenis harta mempunyai kadar nisabnya yang tersendiri. Misalnya bagi Zakat Pendapatan, Perniagaan, Wang Simpanan, Saham dan Emas, nisabnya adalah nilaian 20 mithqal (85 gram emas). Manakala nisab bagi Zakat Pertanian adalah 5 atau 10 awsuq. Bagi nisab Zakat Ternakan adalah berpandukan ukuran ketetapan yang telah dinyatakan dalam nas hadis.
v. Cukup Haul
Cukup haul bermaksud telah berlalu satu tahun ke atas harta yang dimiliki. Haul boleh dikira dalam tahun Hijrah iaitu selama 354 hari atau tahun masihi iaitu selama 365 hari. Namun begitu, terdapat juga zakat yang tidak mengikut haul iaitu Zakat Pendapatan, Pertanian dan Rikaz. Zakat-zakat jenis ini perlulah dikeluarkan pada masa ia diperolehi / dituai / dijumpai.
vi. Harta Berkembang (An-Nama')
Harta yang dizakatkan mestilah harta yang berkembang. Maksud berkembang harta adalah memberikan pulangan dan pendapatan kepada pemiliknya. Oleh itu para Ulama tidak mewajibkan zakat terhadap haiwan yang dijadikan kenderaan, rumah kediaman, aset-aset pekerjaan dan lain-lain yang tidak berkembang.
COMMENTS