Sesuai dengan permintaan semasa, perkhidmatan Ar-Rahnu semakin hari semakin mendapat tempat di hati pengguna terutama umat Islam. Perkhidmatan Ar-Rahnu merupakan suatu perkhidmatan pajak gadai patuh Shariah yang menggabungkan empat konsep Muamalah iaitu Ar-Rahnu (Sandaran/Cagaran), Al-Wadiah Yad Dhamanah (Simpanan Dengan Jaminan), Qardul Hassan(Pinjaman Tanpa Faedah) dan Al-Ujrah (Upah).
Ar-Rahnu mampu membantu seseorang terutama umat Islam untuk mendapatkan tunai tanpa perlu mengambil pembiayaan berasaskan hutang patuh Shariah dengan mana-mana institusi kewangan Islam mahupun pinjaman dengan faedah (riba) dari institusi kewangan konvensional.
ADAKAH NABI MUHAMMAD SAW PERNAH MELAKUKAN URUSNIAGA AR-RAHNU?
Ya, Nabi Muhammad SAW pernah melakukan urusniaga berasaskan ar-Rahnu. Hal ini boleh dilihat dalam Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Muslim, Ahmad, Nasa'i dan Ibnu Majah.
عن عائشة رضي الله عنها أن النبي صلى الله عليه وسلم اشترى من يهودي طعاما إلى أجل ورهنه درعا له من ØØ¯ÙŠØ¯
Daripada Aishah RA [Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW pernah membeli bahan makanan dari seorang yahudi secara hutang, dan Baginda telah memberikan baju besi sebagai gadaian.] (HR Bukhari & Muslim)
وعن أنس قال : رهن رسول الله صلى الله عليه وسلم درعا عند يهودي بالمدينة وأخذ منه شعيرا لأهله
Daripada Anas Ibn Malik RA berkata: [Rasulullah SAW telah menggadaikan baju besi kepada seorang Yahudi di Madinah ketika mengambil gandum untuk diberikan kepada keluarga Baginda.] (HR Ahmad, Bukhari, Nasa'i & Ibnu Majah)
Melalui dua Hadis Rasulullah SAW di atas, amat jelas sekali bahawa Islam telah membenarkan transaksi gadaian dan ianya telah menjadi kebiasaan bagi pada ketika itu.
ADAKAH AL-QURAN JUGA MEMBENARKAN AR-RAHNU?
Ya. Hal ini terdapat dalam Surah Al-Baqarah ayat 283. Firman Allah SWT:
Maksudnya: {Jika kamu dalam perjalanan (dan berurusniaga secara hutang) sedangkan kamu tidak mempunyai seorang penulis, maka hendaklah kamu adakan suatu barang jaminan yang dipegang (oleh yang berpiutang). Akan tetapi jika sebahagian kamu mempercayai sebahagian yang lain, maka hendaklah yang dipercayai itu menunaikan amanatnya (hutangnya) dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah Tuhannya; dan janganlah kamu (para saksi) menyembunyikan persaksian. Dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya; dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.}
PENUTUP
Sebenarnya jika kita renung dengan teliti Firman-Firman Allah SWT dan Hadis-Hadis Rasulullah SAW, kita akan mendapati bahawa terdapat banyak panduan transaksi muamalah dan urusniaga yang terdapat dalam kedua-dua sumber rujukan ini. Sebagai contoh dalam Surah Al-Baqarah ayat 282, Allah SWT telah menerangkan dengan begitu teliti berkaitan panduan untuk urusniaga berasaskan hutang.
Oleh itu tersangat rugilah sekiranya kita tidak hiraukan apa yang Allah SWT turunkan dan apa yang Rasulullah SAW amalkan. Ini kerana apa yang telah ditinggalkan untuk kita ini sangatlah berguna dan menjadi panduan hidup sepanjang zaman.
COMMENTS