SURAH YUSUF, KITARAN EKONOMI DAN PENGURUSAN KEWANGAN - Cakna Kewangan

Friday, 17 November 2017

SURAH YUSUF, KITARAN EKONOMI DAN PENGURUSAN KEWANGAN

Penulis : Danial Razali

Sesungguhnya isi kandungan Al-Quran Al-Karim tindaklah semata-mata membincangkan persoalan hukum hakam Islam bahkan merupakan Kalam Allah SWT yang sarat dengan teks falsafah ekonomi, sosial dan teknologi yang sangat agung. Mereka yang bersekang mata berusaha mentadabbur ayat-ayat suci ini bukan sahaja akan diberikan ganjaran sepuluh pahala bagi setiap satu hurufnya, bahkan bakal memperolehi satu pemikiran yang salim lagi benar tentang erti kehidupan untuk dijadikan pedoman sepanjang hidup. Al-Furqan berjaya memisahkan antara kebenaran dan kecelakaan yang direka-reka oleh pemikiran manusia yang secara fitrahnya diciptakan mempunyai keterbatasan. Akal manusia tidak mampu memikirkan zat Allah SWT bahkan hanyalah terbatas dengan keupayaan memikirkan hikmah pada sesuatu kejadian yang diciptakan oleh Allah SWT.

Surah Yusuf

Tafsir Al-Wasit karangan Syeikh Wahbah Az-Zuhaili telah menceritakan tatkala Nabi Yusuf AS dipenjarakan oleh Raja Mesir, baginda telah mentafsirkan mimpi dua orang banduan yang dipenjarakan bersama-sama baginda. Tidak berapa lama kemudian, kedua-dua banduan tersebut dibebaskan. Setelah berlalunya masa, Raja Mesir telah menghadapi suatu mimpi yang sangat ganjil. Raja Mesir telah meminta para pembesarnya untuk mentafsirkan mimpi tersebut malangnya tiada seorang pun dari kalangan mereka yang mempunyai kepakaran. Selepas itu, telah datang dua orang khadam yang pernah dipenjarakan sebelum ini mengadap raja Mesir lalu meminta keizinan agar membawa mereka berjumpa Nabi Yusuf AS kerana teringatkan peristiwa yang berlaku didalam penjara. Pada pendapat mereka, Nabi Yusuf AS sangat mampu mentafsirkan segala apa yang telah terjadi didalam mimpi Raja Mesir. 

Firman Allah Taala :

43. Dan (pada suatu hari) raja Mesir berkata: "Sesungguhnya aku mimpi melihat: tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus, dan aku melihat tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau dan tujuh tangkai lagi yang kering. Wahai ketua-ketua kaum (yang hadir, terangkanlah kepadaku tentang mimpiku ini, kalau kamu orang yang pandai menafsirkan mimpi".

44. Mereka menjawab: "Yang demikian itu ialah mimpi-mimpi yang bercampur aduk, dan kami bukanlah orang-orang yang mengetahui mimpi-mimpi (yang sedemikian) itu".

45. Dan (pada saat itu) berkatalah orang yang terselamat di antara mereka yang berdua itu, dan yang baharu mengingati (akan pesanan Yusuf) sesudah berlalu suatu masa yang lanjut: "Aku akan memberi tahu kepada kamu tafsirannya. Oleh itu hantarkanlah daku pergi (kepada orang yang mengetahui tafsirannya) ".

46. (Setelah ia berjumpa dengan Yusuf, berkatalah ia): "Yusuf, Wahai orang yang benar (pada segala-galanya)! tafsirkanlah kepada kami (seorang bermimpi melihat): tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus; dan tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau serta tujuh tangkai lagi yang kering; (tafsirkanlah) supaya aku kembali kepada orang-orang yang mengutusku itu, semoga mereka dapat mengetahui tafsirannya".

47. Yusuf menjawab: "Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan.

48. Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih).

49. "Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya)".

                Tafsiran Nabi Yusuf AS terhadap mimpi Raja Mesir dalam ayat 47 hingga 49 dari Surah Yusuf ini telah membuatkan Raja Mesir menjadi begitu kagum. Disebabkan kepintaran ini, Raja Mesir telah menitahkan agar dibawa Nabi Yusuf AS mengadap baginda. Peristiwa ini juga menyebabkan Raja Mesir membuka kembali kertas siasatan terhadap kes yang menyebabkan Nabi Yusuf AS dipenjara sehinggalah terbukti kebenaran bahwa Nabi Yusuf AS tidak bersalah. Nabi Yusuf AS kemudiannya dijadikan ahli majlis mesyuarat dan penjaga urusan perbendaharaan negara oleh Raja Mesir seperti yang dinukilkan didalam ayat  54 dan 55 surah Yusuf. 

KITARAN EKONOMI

Sebenarnya, tafsiran mimpi yang dilakukan oleh Nabi Yusuf AS dalam ayat 47 hingga 49 menunjukkan satu situasi penting yang bakal terjadi didalam perjalanan ekonomi negara Mesir. Para cerdik pandai ekonomi mentafsirkan situsi ini sebagai kitaran perniagaan atau kitaran ekonomi. Untuk lebih spesifik, kitara ekonomi diterjemahkan sebagai turun naik semula jadi ekonomi diantara tempoh pengembangan (pertumbuhan) dan penguncupan (kemelesetan). Faktor-faktor seperti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pengangguran, perbelanjaan, indeks harga pengguna dan upah benar boleh menentukan peringkat semasa kitaran ekonomi. 

                Sebagai contoh, kitaran ekonomi ini boleh dilihat menerusi beberapa siri krisis ekonomi yang pernah melanda negara Malaysia. Malaysia mengalami krisis ekonomi pertama pada tahun 1973 berikutan kenaikan harga minyak atau dikenali sebagai kejutan minyak pertama akibat peperangan antara Mesir dan Israel. Kejutan minyak kedua pada 1978 kesan daripada revolusi Iran pula menyebabkan Malaysia mengalami krisis ekonomi buat kali kedua. Pada tahun 1985, ekonomi Malaysia menguncup akibat kejatuhan harga komoditi rentetan daripada kelembapan ekonomi dunia. Pada tahun 1997 pula, berlaku krisis kewangan Asia yang bermula di Thailand dan merebak kepada hampir semua negara ASEAN termasuk Malaysia, Indonesia, Jepun dan Republik Korea. Akhir sekali, berlaku krisis ekonomi pada tahun 2008 yang berpunca daripada kemerosotan kualiti subprime assets di Amerika Syarikat.

PENGURUSAN KEWANGAN

Daripada ayat 47 hingga 49, boleh disimpulkan bahawa setiap individu atau setiap negara secara agregat perlu menyediakan satu pelan strategik bagi menghadapi satu keadaan kemuncupan ekonomi yang tidak diduga. Model yang telah dibuat oleh Nabi Yusuf AS berdasarkan mimpi Raja Mesir adalah sesuai diimplikasikan kerajaan dan juga secara individu. Menurut model kitaran ekonomi Surah Yusuf, jumlah rizab makanan dinaikkan dan penggunaan dikekang dalam nisbah yang kecil pada tempoh ekonomi mengembang. Manakala apabila tiba suatu musim kemarau, rezab makanan inilah yang digunakan kerana penduduk tidak mampu menuai hasil baru. Akan tetapi, satu bahagian makanan perlu disimpan untuk dijadikan benih atau perlaburan pada waktu keadaan pulih.

                Hakikatnya, betapa ramai pengguna individu tidak mengambil pengajaran daripada kisah yang berlaku didalam Surah Yusuf. Mengikut statistik kebangkrupan pada tahun 2012, seramai 19,575 orang rakyat Malaysia telah muflis. Daripada jumlah ini, seramai 3,970 orang berumur 25 hingga 34 tahun manakala seramai 7,164 orang adalah berumur 35 hingga 44 tahun. Insolvensi ini disebabkan oleh kegagalan setiap individu menguruskan kewangan dengan baik. 

                Individu harus pandai membahagikan perbelanjaan kepada tiga perkara utama iaitu barang keperluan terdesak, barang keselesaan dan barang kemewahan. Keperluan terdesak adalah perkara dharuri yang sangat diperlukan seperti makanan, rumah dan pakaian. Barang keselesaan pula adalah keperluan tambahan yang dapat membantu urusan hidup. Pengguna tidak akan mati tampanya tetapi memerlukannya untuk menjalani hidup yang lebih baik seperti kereta, komputer dan lain-lain. barang kewahan pula adalah keperluan lebihan yang digunakan sekadar untuk menambahkan nilai keperluan yang sedia ada. Ia sebenarnya tidak diperlukan akan tetapi sesetengah pengguna merasakan ia perlu sebagai satu ekspresi kemampuan masing-masing. Contoh kemewahan adalah kereta berjenama mewah, rumah banglo bertingkat-tingkat dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment