SIMPANAN KWSP HANGUS DIJILAT YURAN PENDIDIKAN - Cakna Kewangan

Friday, 17 November 2017

SIMPANAN KWSP HANGUS DIJILAT YURAN PENDIDIKAN

Pasrah! Itulah yang boleh digambarkan apabila impian para ibu bapa untuk membeli rumah kediaman pertama terpaksa dipadamkan apabila simpanan akaun 2 KWSP mereka perlu digunakan untuk membiayai pendidikan anak-anak. Umum mengetahui bahawa yuran pendidikan mengalami inflasi sehingga 20% setahun dan ia meningkat berseiringan bersama-sama kos perubatan.

Berdasarkan laporan tahunan 2016 KWSP, kadar pengeluaran pendidikan tahun 2016 meningkat sehingga 252% berbanding tahun 2015 iaitu RM 1.45 Billion berbanding RM0.58 Billion. Trend ini begitu memeranjatkan banyak pihak.

Pada pendapat saya, terdapat tiga faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan ini.

PERTAMA: PERSAINGAN SENGIT MENDAPATKAN BIASISWA

Umum mengetahui bahawa terdapat badan kerajaan dan swasta yang boleh membiayai pendidikan 100% secara biasiswa. Namun begitu, jumlah dan peluang ini sangatlah terhad. Pada tahun 2016, JPA hanya menanggung pembiayaan seramai 8,964 orang pelajar melalui 4 program biasiswa. Walaubagaimana pun, jumlah itu susus sebanyak -21% berbanding jumlah biasiswa yang ditawarkan pada tahun sebelumnya yang berjumlah 11,400 orang penerima.

KEDUA: YURAN PENGAJIAN SEMAKIN MENINGKAT

Menurut Expert Market, purata yuran universiti pada tahun 2014/2015 di Malaysia adalah AS$18,000. Kadar ini menyebabkan para ibu bapa terpaksa memperuntukkan 55% hasil pendapatan semata-mata bagi membiayai yuran pengajian anak-anak mereka. Kos pengajian yang tinggi juga menyebabkan para ibu bapa yang mempunyai simpanan KWSP mengeluarkan sejumlah besar wang simpanan dari akaun 2 mereka bagi membolehkan anak-anak mereka belajar di universiti pilihan.

KETIGA: TIADA RANCANGAN RAPI MENGHADAPI KEMELUT KOS PENGAJIAN

Faktor yang terbesar adalah kegagalan sebahagian ibubapa atau pelajar sendiri untuk merancangkan kos dan kewangan bagi membiayai pendidikan. Ini merupakan perangai biasa masyarakat kita. Kita lebih selesah berharap kepada biasiswa kerajaan. Kesannya, apabila kerajaan mengurangkan jumlah biasiswa, para ibu bapa terpaksa mencairkan simpanan peribadi atau KWSP. Kita juga sangat selesa apabila sentiasa mengharapkan bantuan kerajaan atau zakat.


JADILAH ORANG YANG BIJAK

Orang yang bijak adalah orang yang menyediakan payung sebelum hujan. Terdapat banyak produk simpanan pendidikan yang terdapat dipasaran. Di antaranya ialah Skim Simpanan Pendidikan Nasional SSPN-i Plus. Dengan skim ini, anda kan menjadi lebih berdisiplin dalam menyimpan. Anda juga bakal menikmati dividen tahunan sehingga 4.25% setahun (anggaran).

RM20 sebulan mungkin tiada makna bagi kita pada waktu sekarang. Namun jika RM20 x12 bulan x 10 tahun ditambah pula dengan dividen 4.25% setahun mungkin merupakan segala-galanya bagi kita apabila diperlukan kelak. Jadilah orang yang bijak. Menabunglah untuk kesejahteraan pendidikan anda atau anak anda pada masa hadapan.

Simpan KWSP untuk rumah, menabung dalam SSPN-i Plus untuk pendidikan!

No comments:

Post a Comment