KOS PENDIDIKAN DI MALAYSIA LEBIH MAHAL BERBANDING AMERIKA SYARIKAT - Cakna Kewangan

Friday, 17 November 2017

KOS PENDIDIKAN DI MALAYSIA LEBIH MAHAL BERBANDING AMERIKA SYARIKAT


Adakah anda mengetahui bahawa kos pendidikan di sebenarnya lebih mahal dari Amerika Syarikat dan Britain? Malaysia telah menduduki tangga kelima bagi yuran pendidikan termahal manakala Amerika Syarikat dan Britain masing-masing ditangga keenam dan sembilan. Berikut merupakan analisa laman pembekal B2B atas talian Expert Market terhadap data yuran pengajian daripada Quacquarelli Symmonds (QS) Top Universities bagi tahun akademik 2014/2015 dan data laporan Gallup Median Self-Reported Income 2013 seperti yang dipetik themalaymailonline. 

10. Singapura 

Kos keseluruhan yuran pengajian: US$35,400 (RM150,557) . Peratusan gaji yang dibelanja untuk yuran pengajian: 36 peratus. Singapura hanya mempunyai lima universiti awam dan yuran mata pelajaran perubatan dan sains biasanya sangat tinggi. Bagaimanapun, Singapura negara ketiga terkaya di dunia dan pendapatan yang tinggi bermakna ibu bapa hanya berbelanja satu pertiga daripada gaji mereka untuk memastikan anak mendapat sekurang-kurangnya ijazah. 

9. Britain 

Kos keseluruhan yuran pengajian: US$40,290 (RM171,355). Peratusan gaji yang dibelanja untuk yuran pengajian: 42 peratus. Yuran universiti di Britain sangat tinggi sehingga mereka membelanjakan hampir separuh purata pendapatan isi rumah. Bagaimanapun, ia berada di tangga kesembilan kerana gaji mereka yang tinggi. Yuran pengajian di Britain boleh mencecah US$13,654 (RM58,071) setahun bergantung kepada bidang dan universiti. 

8. Lithuania 

Kos keseluruhan yuran pengajian: US$23,904 (RM101,664). Peratusan gaji yang dibelanja untuk yuran pengajian: 48 peratus. Pada 2009, pelajar berdemonstrasi di ibu negara Lithuania, Vilnius, bagi menentang reformasi pendidikan kerana menyangka ia akan meningkatkan kos ke universiti. Kebimbangan mereka ternyata benar apabila ibu bapa terpaksa berbelanja hampir separuh gaji mereka untuk membayar yuran pendidikan tinggi. 

7. Ukraine 

Kos keseluruhan yuran pengajian: US$23,200 (RM98,670). Peratusan gaji yang dibelanja untuk yuran pengajian: 52 peratus. Pada satu masa, Ukraine mempunyai lebih banyak universiti daripada jumlah kampus-kampus di Itali, Perancis, Jerman, Poland dan Belgium digabungkan. Negara itu mengecilkan jumlah universiti daripada 900 kepada cuma kurang daripada 200 sejak tiga tahun lalu. Sesetengah daripadanya mempunyai institut tentera khas, jadi graduan boleh terus masuk ke angkatan tentera. 

6. Amerika Syarikat 

Kos keseluruhan yuran pengajian: US$91,832 (RM390,566). Peratusan gaji yang dibelanja untuk yuran pengajian: 53 peratus. Amerika Syarikat (AS) dikenali dengan yuran pengajian yang sangat tinggi. Walaupun jumlah di atas merupakan kos purata bagi ijazah di AS, yuran pengajian dari universiti paling berprestij di negara itu (yang juga paling berprestij di dunia) boleh mencapai sekitar US$45,278 (RM192,569).

5. Malaysia 

Kos keseluruhan yuran pengajian: US$18,000 (RM76,554). Peratusan gaji yang dibelanja untuk yuran pengajian: 55 peratus. Malaysia mempunyai lebih kurang 20 universiti dan yurannya masih kompetitif berbanding negara lain di dunia. Bagaimanapun, purata gaji tempatan masih RM2,052 ($470) sebulan. Maknanya, tanpa biasiswa atau pinjaman, ibu bapa akan kehilangan lebih separuh gaji mereka untuk yuran pengajian. 

4. Chile 

Kos keseluruhan yuran pengajian: US$23,600 (RM100,371). Peratusan gaji yang dibelanja untuk yuran pengajian: 73 peratus. Gelombang besar bantahan pelajar di antara 2011 hingga 2013 sehingga digelar “Salji Chile”— cuba untuk menamatkan institusi pendidikan tinggi yang mengaut untung kerana keluarga miskin tidak mampu menghantar anak mereka ke universiti. Kajian Pertubuhan untuk Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) menunjukkan purata pendapatan isi rumah di Chile hanya US$17,773 (RM75,589), bermakna keluarga akan lumpuh dari segi kewangan demi menanggung yuran pengajian. 

3. Estonia 

Kos keseluruhan yuran pengajian: US$38,400 (RM163,317). Peratusan gaji yang dibelanja untuk yuran pengajian: 76 peratus. Kerajaan Estonia mengangkat sains dan teknologi sebagai keutamaan negara pada 2011 ekoran jumlah pelajar dalam bidang-bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) menurun pada 1990-an. Walaupun kemasukan bertambah sejak beberapa tahun lalu, bidang-bidang ini membawa beban tertinggi dari segi yuran. 

2. Romania 

Kos keseluruhan yuran pengajian: US$25,200 (RM107,176). Peratusan gaji yang dibelanja untuk yuran pengajian: 86 peratus. Romania memiliki ramai pelajar sains dalam sistem pendidikan tinggi mereka, terutamanya bidang perubatan. Bagaimanapun, memandangkan rakyat hanya memperolehi secara purata 2563 leu (RM2,768) sebulan, hanya mereka yang kaya mampu menghantar anak ke universiti. 

1. Hungary 

Kos keseluruhan yuran pengajian: US$34,200 (RM145,454). Peratusan gaji yang dibelanja untuk yuran pengajian: 92 peratus. Ibu bapa di Hungary membelanjakan hampir keseluruhan pendapatan tahunan untuk pendidikan tinggi setiap tahun, jadi yang mampu cumalah mereka yang berpendapatan tinggi, mempunyai simpanan atau sangat bergantung kepada pinjaman. Bagaimanapun, kerajaan membenarkan pelajar mendapat pendidikan universiti percuma asalkan mereka tinggal di negara itu 10 tahun selepas tamat belajar, atau terpaksa membayar semula yuran pengajian.

No comments:

Post a Comment